Wednesday, October 04, 2006

When one loses another....


This touched me. It really did. Al Fatihah.

I wonder what would happen if this were to happen to me? Losing a loved one. Am I prepared? hurm. *sigh*

Ramadan Dee sunyi tanya Moon
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


BAGI Syed Muradzi Syed Shamsul atau lebih dikenali dengan panggilan Dee, Ramadan tahun ini tidak lagi seindah dulu. Hampir setahun berlalu tetapi ingatannya masih belum luput terhadap teman baiknya, Munir Sheikh Mahmud atau Moon.

Mengimbas episod duka itu, Moon tiba-tiba pergi menghadap Ilahi ketika sedang menonton televisyen di kampung halamannya di Kangar, Perlis pada hari kelima Syawal saat umat Islam bergembira meraikannya.

Pemergian mengejut Moon menyebabkan Dee sehingga kini berasa hidupnya seolah-olah tidak lagi seindah sebelum ini. Rasa rindunya terhadap arwah Moon semakin menebal sebaik saja umat Islam menyambut Ramadan. Satu-persatu kenangan bersama sahabat baiknya itu menerjah di ingatan. Memang kenangan itu tidak akan luput sampai bila-bila, selagi hayat dikandung badan.

“Kesunyian sudah dirasai daripada awal umat Islam berpuasa. Supaya tidak terlalu mengingati arwah, saya sibukkan diri buat pelbagai kerja dan memenuhi undangan berbuka puasa.

“Kenangan bersama arwah terlalu banyak lebih-lebih lagi ketika Ramadan. Arwah seorang yang rajin masak, selalunya dia masak dan undang saya serta rakan lain makan di rumahnya. Kami juga selalu berhubung melalui telefon untuk berkongsi resipi,” kata Dee mengimbau kenangan mereka bersama.

Biarpun sering dihambat kesibukan, Dee akan memastikan dia punya ruang untuk memasak sendiri juadah berbuka. Tiga jenis lauk sudah pasti terhidang di meja, tapi katanya arwah Moon sukakan kepelbagaian. Paling tidak lima lauk pauk akan tersedia di meja.

Sememangnya bukan mudah untuk meluputkan ingatan memandangkan mereka berkawan baik sejak kecil lagi. Selain bertukar-tukar resipi dan berbuka bersama, Dee dan Moon juga selalu meluangkan masa membeli-belah bersama-sama terutama perhiasan rumah.

Biasanya mereka akan berkongsi pendapat apa yang sesuai dan tidak. Kini, semuanya hanya tinggal kenangan dan tiada lagi tawa ria saat memilih langsir bersama-sama.

Kebetulan mereka berdua berasal dari kampung yang sama, kunjung mengunjung sudah menjadi amalan tradisi kedua-dua keluarga. Kesedihan yang masih belum lagi surut itu menyebabkan Dee tidak akan menyambut lebaran di kampung halaman.

“Saya tahu tiada gunanya bersedih, walau macam mana saya bersedih sekalipun dia tidak akan kembali. Rasanya tahun ini saya akan beraya di Kuala Lumpur saja, Insya-Allah kalau berkesempatan saya akan menziarahi pusara arwah,” katanya.

Di sebalik pemergian Moon ada pengajaran baru yang ditimba Dee. Jika sebelum ini dia tidak begitu menjaga soal pemakanan, kini dia lebih berhati-hati supaya tidak memudaratkan kesihatannya.

Sejak ketiadaan Moon, anak angkatnya Puteri Fatin Nadia, 13, menjadi pengubat kerinduan Dee. Puteri yang kini menetap di Perlis memang rapat dengan Dee sejak dulu lagi. Apa saja permintaan Puteri akan cuba dipenuhi.

Sebelum memenuhi kehendak Puteri, Dee akan mengenakan syarat padanya supaya dia tidak leka dengan kesenangan yang diberikan. Dee juga memahami sebagai anak remaja pastinya Puteri ingin melalui kehidupan seperti remaja lain, justeru Dee cuba penuhi kehendak anak kepada arwah rakannya itu.

Cik Timah rehat di bulan puasa

DEE yang turut dikenali sebagai Cik Timah, nama timangan yang diberikan arwah Moon, nampaknya begitu serasi dan melekat pada Dee. Nama itu umpama nama ‘cari makan’ kepada pelawak, pelakon dan pengacara majlis dari Perlis itu.

Melihat Dee bergaya ala perempuan memang cukup mencuit hati terutama di majlis tertutup seperti sambutan Minggu Setiausaha. Tapi bagi peminat Cik Timah, nampaknya mereka kenalah menantikan Ramadan berlalu untuk bertemu dengannya.

Ujar Dee, sempena Ramadan ini Cik Timah akan bercuti sebagai menghormati bulan yang mulia ini. Bulan ini peminat akan melihatnya dengan penampilan seorang lelaki, bersongkok dan berbaju Melayu.

“Bulan Ramadan ini Cik Timah bercuti, yang ada hanyalah Dee. Bagaimanapun, kalau ada permintaan saya penuhi,” katanya yang tidak akan berhenti memikul tugas sebagai pengacara majlis selagi ada permintaan dan selagi kudratnya mengizinkan.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Jazakallahu Khairan

Image hosted by Photobucket.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home