Sunday, June 18, 2006

AF week 3.. kan?




Sudah dua minggu saya terlepas untuk menonton konsert AF kerana kesibukan peribadi, namun, pada minggu ini, Alhamdulillah, dapat saya menonton sebahagian besar konsert ketiga yang menyaksikan penyingkiran Rich.

Seacara kesuluruhannya, pakaian/kostum yang digayakan peserta pada minggu ini adalah seperti minggu-minggu yang lepas. Ada yang sesuai, ada yang tidak dengan lagu dan gaya persembahan.

Pelajar lelaki diberi pilihan pakaian yang agak selamat berbanding pelajar wanita. Contoh yang baik adalah pada pakaian Lotter dan Faizal, di mana mereka diberi padanan kemeja, jaket dan seluar denim. Padanan ini sesuai dengan genre lagu yang disampaikan. Jaket Faizal yang mempunyai motif organik tampak begitu sesuai dengan lagu Ganu Kite yang dipopularkan dahulu oleh kumpulan IKLIM. Motif organik yang turut disulam dengan jemeki itu tampak seperti motif batik teknik capan yang amat popular di negeri pantai timur itu.

Namun, dalam keadaan berpakaian selamat itu, pakaian yang digayakan Diddy dan Haziq jelas tidak mencerminkan sifat lagu yang disampaikan. Diddy kelihatan seperti didalam wad sakit jiwa dengan dua helai kemeja yang dipakai sekali gus. Adalah lebih sesuai jika kemeja yang dipakai didalam berwarna kontras dari kemeja diluar. Lengan baju luar seeloknya dilipat ke paras siku dan lengan baju di bahagian dalam dilipat sedikit sahaja pada bagaian cuff nya. Gaya nusantara yang diberikan pada Haziq agak keterlaluan, terutama pada detilan seluar yang diikat-ikat. Ia tampak seperti balutan bandage atau simen pada kaki yang patah. Adalah lebih sesuai jika Haziq diberi seluar berpotongan seperti Rich. Warna kemeja ala nusantara juga agak menarik energy persembahan Haziq. Saya amat bersetuju dengan komentar yang diberikan oleh juri profesional yang menyatakan pakaian Haziq yang tidak masuk dengan pakaian penari latar. Di dalam sebuah pementasan, apa yang berada di dalam sebuah ruang itu hendaklah harmoni antara satu sama lain, ini adalah untuk menimbulkan kesatuan pada sesuatu persembahan itu jesteru memberikan impak visual yang berkesan kepada penonton, dalam kes Haziq ini, baik penonton di rumah mahupun di Dewan Sivik MPPJ.


Pelajar wanita pula tampil agak ringkas minggu ini. Gaya ala cowboy oleh Salima agak mengejutkan saya kerana dari jauh, saya tidak dapat mengecam langsung Salima. Ketrampilannya benar-benar lain dan sesuai dengan genre lagu yang disampaikannya. Beliau tampak selesa dan bertenaga sekali.

Farhan. Elegan dengan pakaian ringkas serba hitam berkilauan. Jelas, tiada elemen lain yang perlu ditonjolkan dengan pakaian oleh Farhan kerana beliau mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaiakan lagu Gary Moore, Still Got The Blues. Keringkasan penampilan Farhan pada tanggapan saya tidak langsung mengganggu proses undian SMS kerana yang tertonjol adalah kekuatan bakatnya. Warnah hitam turut menggambarkan rasa lagu yang disampaikan oleh beliau iaitu kekecewaan dan kenangan terhadap bekas kekasih.

Padanan seluar caprice denim, tiub oren dan blaus dari jenis renda tidak berapa sesuai dengan penampilan Velvet. Ia menampakkan kedempakkan susuk tubuh Velvet dan ada kala beliau kelihatan seakan-akan lemas dalam pakaian beliau itu. Namun warna jingga tiub itu menyumbang kepada keceriaan dan tenaga lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Ratu itu. Menyentuh persembahan Velvet, saya berpendapat beliau tersilap pitching pada awalan lagu, kerana beliau nampak seperti cuba mengubahsuai nada nyanyian beliau.

Kesimpulannya, konsert AF minggu ini sekali lagi menampakkan peserta menyampaikan tugasan mereka dengan penuh dedikasi dan dengan daya usaha yang tinggi. Ini sudah pasti dibantu oleh pakaian yang diapakai oleh mereka kerana saya yakin, jika mereka selesa dengan apa yang dipakai, mereka akan tampil lebih hebat dan penuh keyakinan di hadapan khalayak mereka. Saya amat mengharapkan lebih ramai pereka fesyen Malaysia tampil kehadapan untuk menaja pakaian para pelajar AF4 ini dengan rekaan yang berkualiti dan mampu meresapi genre lagu yang akan disampaikan. Tidak salah jika pihak ASTRO mendekati Jabatan Senireka Fesyen UiTM atau sekolah-sekolah rekaan fesyen yang lain untuk mendapatkan koleksi yang jauh lebih menarik dan gah, disamping membantu para siswa dan siswi dalam bidang ini mengembangkan bakat mereka.
***

Taking this opportunity to wish all fathers, a happy Father's Day.

***

Jazakallahu Khair


Image hosted by Photobucket.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home